Pemandu dan kelindan lori maut terbabit kemalangan
ALOR GAJAH 23 Sept. – Pemandu dan kelindan lori maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua treler dalam kejadian di Kilometer 221.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, mangsa Lai Wan Peng, 52 dan kelindannya Muhammad Dehya Al Qalbi Sharuddin, 27, maut dilokasi kejadian akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga kenderaan berat itu dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan habuk soya dikatakan mengalami kerosakan dan terhenti antara lorong kiri dan kecemasan.
“Sebuah lagi treler muatan papan yang juga dari arah sama kemudian terlanggar belakang treler yang rosak.
“Akibat itu lori muatan barangan plastik dinaiki mangsa yang kebetulan turut melalui lokasi merempuh belakang trelar muatan papan,” katanya.
Beliau berkata, akibat daripada pelanggaran itu pemandu dan kelindan treler muatan papan yang mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki dikejarkan ke Hospital Alor Gajah mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.16 pagi sebelum dua jentera masing- masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Rembau bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami terpaksa menggunakan perkhidmatan kren untuk mengalihkan lori bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.