Sorting by

×

PEMANDU 4X4 REMPUH MOTOSIKAL SUDAH DITAHAN POLIS

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KESIDANG 26 April – Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang dipercayai terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Balai Panjang sehingga mengakibatkan seorang wanita maut sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 50 tahun yang memandu Mitsubishi Triton milik ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada jam 2.50 petang tadi.

“Pemandu terbabit yang sebelum ini didakwa melarikan diri telah ditahan di IPD Melaka Tengah dan saringan air kencing serta ujian darah turut dilakukan terhadap lelaki terbabit.

“Malah permohonan reman keatasnya juga akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan bagi ujian darah dan saringan air kencing untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, polis turut merakam percakapan saksi lain yang berada di lokasi kejadian dan menyaksikan kemalangan itu selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam tadi, Roslinah Sinan, 53, maut di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 57 tahun, parah apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Lebuh AMJ Balai Panjang.

Difahamkan, ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan ke kedai makan dari rumah mereka di Angkasa Nuri, Durian Tunggal ke Balai Panjang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

999
Kongsi :
Previous post RAYA MERIAH DI SUNGAI UDANG
Next post LEBIH 15,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI UTEM