‘Pemakluman kedudukan Muhyiddin Isnin ini’
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada Isnin ini.
Memetik laporan Berita Harian (BH), Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai kanan kepada dua menteri ketika dihubungi BH, malam ini.
“Makluman oleh Perdana Menteri itu dijangka dibuat pada tengah hari, sebaik beliau selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” kata pegawai kanan terbabit.
Katanya, pagi Isnin, Muhyiddin dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang serta pegawai kanan kerajaan.
“Ya, dijangka Isnin ada pengumuman. Mungkin tengah hari,” katanya ketika dihubungi.
Selesai pertemuan itu, Muhyiddin seterusnya dijangka mengadakan mesyuarat ringkas bersama anggota Kabinetnya.
Difahamkan pagi tadi, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN), UMNO serta beberapa menteri bagi memaklumkan mengenai hasrat dan rancangannya selepas ini.
Petang tadi, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dijangka satu mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi (MT) partinya, esok.
Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik COVID-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) serta Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.
Sementara itu, jurucakap Istana Negara yang dihubungi memberitahu belum dapat mengesahkan berkenaan sebarang majlis mengadap oleh Perdana Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, mesyuarat BERSATU esok juga dijangka boleh mempengaruhi pendirian yang sudah dibuat Perdana Menteri hari ini dan keputusan pada Isnin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.