Pemakaian pelitup muka: “Tiada lagi budi bicara” – KP Melaka
AYER KEROH 1 Ogos – Tiada lagi budi bicara, sebaliknya rakyat di negeri ini akan terus dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 sekiranya gagal memakai pelitup muka di tempat awam.
Tindakan itu sebagaimana diwajibkan kerajaan menerusi pengumuman dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri pada 23 Julai yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pangangkutan awam dan kawasan tumpuan orang ramai berkuatkuasa hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan memberi peringatan dan amaran tidak lagi diperlukan kerana ia sudah sering dilakukan sebelum ini.
“Bagi saya tiada lagi budi bicara, individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam akan terus dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kegagalan individu untuk mematuhi peraturan baharu itu boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata jabatan kesihatan negeri setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai bekalan pelitup muka yang tidak mencukupi di negeri ini.
Katanya, orang ramai juga tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan itu kerana harga di pasaran lebih murah berbanding harga yang dikenakan pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan Mac lalu.
“Apa pun jika ada keperluan, kita akan usahakan untuk beri (pelitup muka) kepada rakyat secara percuma,” katanya.
Dalam pada itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga pelitup muka.
“Perkara itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.