Pemain MU jalani ‘swab test’ Covid-19
PEMAIN dan pegawai kejurulatihan Melaka United (MU) memulakan langkah awal kembali ke kancah bola sepak dengan menjalani ujian calitan (swab test) Covid-19 di Stadium Hang Jebat, hari ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata ujian berkenaan dilakukan sebagai persiapan awal untuk pasukan kembali menjalani latihan dalam masa terdekat.
“Selain untuk memulakan latihan, ujian ini juga diwajibkan kepada setiap pasukan dan pemain seperti yang tertakluk dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL).
“SOP ini juga selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Yang mana selepas selesai ujian ini barulah pasukan dibenarkan kembali berlatih,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Sementara itu, Setiausaha Agung MUSA, Mohd Asri Ninggal berkata, para pemain hanya akan memulakan latihan selepas menerima keputusan ujian yang disahkan negatif Covid-19.
“Keputusan diperoleh dalam tempoh 48 jam dan selepas itu barulah latihan berpasukan tanpa sentuhan dimulakan mengikut SOP yang ditetapkan. Setiap latihan juga hanya akan dilaksanakan secara tertutup,” katanya.
Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan hanya latihan tanpa sentuhan dibenarkan kepada pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Difahamkan, saingan liga dijangka bersambung kembali pada awal September depan