
PELUNCURAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 DI MELAKA PADA SEPTEMBER
TELOK MAS 13 April – Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) di Melaka akan diadakan pada September depan, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Beliau berkata, peluncuran itu diadakan ketika semua menteri-menteri pelancongan seluruh dunia berkampung di Melaka bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Menurut beliau, pemilihan tarikh tersebut adalah bertepatan dalam usaha mempromosi sektor pelancongan negara kepada delegasi pelancongan dunia yang hadir.
“Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah untuk pelancaran Tahun Melawat Malaysia yang kita akan laksanakan peluncurannya sewaktu Hari Pelancongan Sedunia 2025 atau World Tourism Day 2025 pada bulan September.
“Kita laksanakan pada bulan yang sama kerana kita mahu mengambil peluang daripad kehadiran menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia yang berkampung di Melaka dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan membuat pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 pada hujung tahun ini.
“Pada Disember depan kita merancang untuk membuat pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 seperti mana dimaklumkan sebelum ini bahawa Tahun Melawat Melaka 2024 dilanjutkan sehingga tahun 2026.
“Sudah pasti pelbagai program-program besar akan kita rencanakan sepanjang Tahun Melawat Melaka ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.