PELUANG DAPAT PENDEDAHAN, MOHON SIJIL HALAL DI MIHF’24
AYER KEROH 13 Disember – Usahawan tempatan bercadang mahu mendapatkan hak pensijilan halal bagi produk masing-masing boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung prosedur itu dengan mengunjungi Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) pada 20 hingga 22 Disember ini.
Diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), festival itu juga menjadi platform kepada para usahawan tempatan memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara.
Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata objektif utama festival adalah memperluaskan lagi pasaran produk-produk halal yang ada di Melaka.
“Kita faham ada antara produk usahawan di Melaka yang masih dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Justeru, kita menggalakkan mereka sertai festival ini kerana ia adalah peluang untuk belajar, cakna dan mengambil tahu bagaimana proses mendapatkan sijil halal.
“Sebenarnya halal ini tidak susah tetapi ada prosedur, jika ikut tatacara yang betul sebenarnya kos tidak tinggi dan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, MAIM juga mahu lebih ramai usahawan Melaka mempunyai produk halal mereka sendiri yang boleh menembusi pasaran luar negara.
“Sudah tentu produk halal menjadi keutamaan kita khususnya apabila ia membabitkan makanan dan minuman, pakaian dan lain-lain produk yang digunakan setiap hari.
“Halal ini bukan sekadar halal, tetapi dari segi penyediaan produk tersebut perlulah bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya.
Ujarnya, festival berkenaan dijangka akan dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.