Peluang baiki diri, elak kembali ke tirai besi
PAYA RUMPUT 30 Ogos – “Hukuman penjara ini sebenarnya banyak kebaikan dalam membentuk jati diri dan menjadikan seorang itu insan yang berbakti kepada masyarakat.
“Dengan peluang pembebasan lebih awal diberikan saya berjanji untuk tidak lagi melangkah masuk ke dalam selepas ini,” kata banduan dikenali sebagai Shah, 40.
Shah, antara 36 banduan dari Penjara Sungai Udang, di sini, yang terpilih dibebaskan menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, hari ini.
Menurutnya, perbuatannya sebelum ini dianggap kesilapan sendiri yang tersalah memilih haluan hingga terjebak kepada jenayah.
Katanya, dengan segala tunjuk ajar pihak penjara sepanjang menjalani hukuman bermula April lalu, ia akan dimanfaat dan dipraktikkan untuk berbakti kepada masyarakat.
“Saya sedar emak terkesan dengan apa yang berlaku apatah lagi ini bukan kali pertama saya dipenjarakan jadi tiba masanya untuk berubah.
“Sepanjang di penjara, saya banyak belajar erti kesabaran, jadi saya bertekad untuk menjadi insan lebih serta dapat menjaga keluarga,” katanya yang dipenjarakan selepas disabitkan bersalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Bagi ibu kepada Shah yang hanya ingin dikenali sebagai Wee, 70, dia amat berharap anak sulungnya itu insaf kerana bimbang umurnya tidak panjang untuk terus menjaga mereka tiga beradik.
“Saya bukannya kuat lagi jadi besar harapan agar dia tidak lagi melangkah masuk ke sini. Sejujurnya dia anak yang pandai dan bijak namun tersilap membuat keputusan.
“Dalam usia sebegini saya hanya mampu bersabar kerana sudah tidak daya, pernah juga katakan kepadanya kalau saya sudah tiada siapa yang akan menjaganya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.