Sorting by

×

Pelitup muka: Polis Melaka tunggu signal KKM, Kerajaan Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

JASIN 6 Januari – Polis Melaka akan bersedia pada bila-bila masa untuk membantu aspek pemantauan dan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, penguatkuasaan itu bagaimanapun hanya akan dilakukan selepas mendapat arahan daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Buat masa ini, tiada tindakan akan diambil memandangkan penguatkuasaan di bawah Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebelum ini telah ditarik balik.

“Bagaimanapun, sekiranya KKM menguatkuasakan semula perintah tersebut dan meminta bantuan polis, barulah kita akan laksanakan semula penguatkuasaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

photo1672981977
KETUA Polis Melaka Datuk Zainol Samah. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, beliau berkata, penguatkuasaan itu akan turut dilaksanakan semula sekiranya Kerajaan Negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meminta bantuan pihak polis bagi mencegah penularan itu.

“Polis ini hanya membantu dari segi penguatkuasaan sahaja. Jika Kerajaan Negeri menguatkuasakan perintah itu, kita sedia bantu.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk bersama-sama menghindari penularan wabak penyakit berbahaya seperti COVID-19,” ujarnya.

Sebelum ini, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Kerajaan Negeri sedia menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam sekiranya berlaku lonjakan kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ia susulan kebimbangan mengenai kemunculan varian baharu Omicron BA.5.2 dan BF.7 yang sudah menular dalam negara sejak tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1879
Kongsi :
Previous post Bomba bantu kebumikan jenazah 170kg
Next post FAM kongsi agenda hala tuju bola sepak negara dengan PM
Ubah saiz-+=