Sorting by

×

Pelitup muka bukan perubatan perlu dapatkan perakuan Sirim mulai 4 Julai

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PUTRAJAYA, 5 April – Berkuat kuasa 4 Julai depan, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hari ini.

Menurut KPDNHEP, pewartaan tersebut bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan menerusi perintah itu.

“Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

“Penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan,” menurut kementerian itu.

KPDNHEP berkata pewartaan berlandaskan prinsip semangat Keluarga Malaysia itu dapat menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

Justeru kementerian berharap dapat mengatasi isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti di pasaran Malaysia dengan adanya perintah terbabit.

Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan mana-mana syarikat dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post COVID-19: Angka kes sembuh atasi kes baharu semalam – KP Kesihatan
Next post ‘Kecewa, tapi akur larangan guna frasa Bufet Ramadan’
Ubah saiz-+=