Pelbagaikan aktiviti di masjid, surau – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Pengurusan masjid dan surau di negeri ini disarankan agar mempelbagaikan lagi aktiviti yang boleh menarik lebih ramai umat Islam untuk mengimarahkan institusi itu tanpa mengira waktu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, masjid atau surau bukan hanya tempat untuk beribadah, sebaliknya fungsinya perlu diluaskan lagi termasuk sebagai gedung ilmu masyarakat.

“Masjid dan surau juga boleh dijadikan pusat aktiviti kemasyarakatan seperti beriadah, bersukan, pusat tuisyen, pendidikan anak-anak dan kajian.

“Pelbagaikan aktiviti, masjid ini secara tidak langsung adalah tempat orang Islam berkumpul. Semoga masjid dan surau kita akan sentiasa bertambah para jemaahnya dari hari ke hari dengan pelbagai aktiviti dirancang yang membawa manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu turut diadakan penyerahan sumbangan sebanyak 2,000 naskhah al-Quran kepada jemputan yang hadir.

Menurut Rahmad, tadbir urus yang cekap dan profesional perlu diperkukuhkan dalam memastikan institusi masjid dapat memenuhi keperluan serta aspirasi ummah.

“Ini adalah sejajar dengan nilai-nilai Islam yang murni dalam usaha memperkasa tadbir urus masjid. Penting untuk kita mengambil inspirasi daripada prinsip-prinsip diterapkan kerajaan seperti ketelusan, akauntabiliti, integriti dan inklusiviti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post Sukarelawan berdepan cabaran, terpaksa pujuk mangsa banjir berpindah
Next post ‘Tiada ajaran sesat baharu dikesan di Melaka’
Ubah saiz-+=