Pelbagai platform media digunakan promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

ASAHAN 21 Ogos – Kerajaan Negeri akan menggunakan pelbagai platform media termasuk aplikasi digital dan media sosial bagi mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata platform yang digunakan adalah menerusi media massa, laman sosial rasmi, pempengaruh media sosial, papan iklan dan papan iklan lampu solar diod pemancar cahaya (LED).

Katanya, kesemua jabatan yang berkaitan akan membantu mempromosi TMM2024.

“Kita akan gunakan medium-medium yang kita ada untuk menyebarkan maklumat ini sebaik mungkin.

“Di Melaka sendiri kita ada Jabatan Penerangan (JaPen), Melaka Hari Ini (MHI), laman-laman rasmi di semua platform media sosial.

“Manakala di peringkat lebih luas, Kerajaan Negeri telah jalin kerjasama dengan Media Prima (Berhad) sebagai media rasmi TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di sini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata beliau turut meminta kerjasama daripada semua pengamal media di negeri terbabit dalam membantu untuk mempromosi TMM2024.

“Baru-baru ini kita buat makan malam media yang kita fokus kepada wartawan sahaja dan pada ucapan Ketua Menteri ada meminta semua wartawan untuk bekerjasama mempromosi TMM2024.

“Kita juga akan meletakkan segala maklumat di merata-rata tempat menggunakan papan iklan dan papan iklan LED yang mana kita sedang memilih syarikat-syarikat yang layak di dalam dan luar Melaka.

“Saya pasti rakyat Melaka tidak terkeluar daripada tanggungjawab ini, dan di bawah unit jawatankuasa,  saya selaku pengerusi iaitu dalam mempromosi dan publisiti, kita juga sedang mencari ‘proposal’ untuk ‘billboard’ LED untuk kita sama-sama memilih syarikat mana yg layak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post ‘Car free zone’ disambut baik peniaga
Next post Penjawat awam Borneo jadi anak angkat kenali budaya Melaka
Ubah saiz-+=