PELBAGAI PAMERAN MENARIK DI EKSPO TVET @KKDW 2024

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 26 September – Pelbagai pameran menarik akan disediakan pada Ekspo TVET @KKDW 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bermula esok hingga Ahad.

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Bachtiar Baharudin berkata, lebih 90 reruai pameran disediakan merangkumi agensi di bawah KKDW dan rakan strategik kementerian selain pihak industri, institusi pengajian, teknousahawan dan lain-lain.

Tambahnya, sebanyak 279 institusi pengajian TVET turut menyertai ekspo kali ini dengan pelbagai tawaran pengajian dalam bidang teknikal untuk anak muda.

“Pada masa sama, sebanyak 19 pertandingan kemahiran akan diadakan sepanjang tiga hari tersebut.

“Menerusi ekspo ini juga terdapat pameran demonstrasi, pameran kemahiran dan pelbagai aktiviti menarik kita sajikan kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di perkarangan MITC, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bachtiar berkata, ekspo tersebut merupakan acara tahunan yang memasuki tahun keenam penganjurannya.

Jelasnya, sebelum bermula ekspo tiga hari itu, KKDW telah memulakan pelbagai program secara dalam talian menerusi seminar dan webinar berkaitan TVET.

“Bermula 23 September lalu, kita juga melaksanakan Program SERI atau dikenali sebagai Program Selenggara Elektrik Rumah Impian.

“Program ini dilaksanakan dengan KKDW menggerakkan pelatih-pelatih daripada setiap institusi latihan terpilih untuk bergerak ke 50 buah rumah terpilih sekitar Melaka untuk membantu membaiki kerosakan elektrik secara percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

66
Kongsi :
Previous post CADANG JETI ANJUNG BATU ‘PINTU MASUK’ KE TAMAN LAUT MELAKA
Next post PESTA BUKU MELAKA 2024 ‘LUBUK’ PENCINTA BUKU
Ubah saiz-+=