![Zuraida](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2020/07/Zuraida.jpg)
Pelbagai langkah akan dilaksanakan tingkat kutipan hasil PBT – Zuraida
JOHOR BAHRU, 5 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan kutipan hasil selepas mengalami kekurangan sehingga 10 peratus hasil sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata antara langkah yang dicadangkan adalah melakukan pemutihan terhadap peniaga haram dan mereka yang menyewakan lesen kepada warga asing.
“Rata-rata saya lihat hasil PBT menurun sebanyak 10 peratus, kalau (PBT) yang kecil-kecil turun antara RM2 dan RM3 juta sahaja tetapi MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) turun sehingga RM40 juta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Menara MBJB, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya dalam masa sama juga mengambil kira cadangan dikemukakan MBJB supaya mewujudkan Pusat Sehenti bagi mempercepatkan permohonan lesen perniagaan bagi menyegerakan proses pemulihan aktiviti perniagaan.
Namun, beliau yakin kutipan hasil akan kembali meningkat dalam tempoh PKP Pemulihan daripada impak COVID-19 ketika ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata bagi mempertingkat kapasiti pelupusan sampah di bandar raya ini, pusat pelupusan sampah di kawasan seluas kira-kira 283 hektar akan diwujudkan di Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, di sini, bagi melupus sisa pepejal, barangan lusuh serta besi buruk.
“Kami harap ia dapat membantu MBJB menguruskan sampah bersepah dan tidak diurus dengan baik di kawasan MBJB,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud berkata pusat pelupusan sampah itu dilihat mampu mempercepatkan usaha pihaknya melupuskan kereta terbiar tidak dituntut yang mengambil masa lama untuk proses pelupusannya.
Beliau berkata kereta terbiar berkenaan termasuk yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pemilik persendirian.- BERNAMA