Sorting by

×

PELAYARAN MINI AMAZON, SEA CRUISE ANTARA PRODUK BAHARU MELAKA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal meluncurkan beberapa produk tarikan baharu dalam usaha untuk terus merancakkan sektor pelancongan Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, antara produk baharu yang akan diketengahkan adalah Eco Cruise di Sungai Linggi dan Sungai Kesang, selain Melaka Sea Cruise iaitu ‘Island Hoping’ di pulau-pulau yang ada di negeri ini.

Katanya, Eco Cruise di Sungai Linggi dan Sungai Kesang diwujudkan bagi memenuhi permintaan dalam sektor ekopelancongan yang semakin menjadi pilihan orang ramai.

“Eco Cruise di Sungai Linggi dan Sungai Kesang, Sungai Rambai ini bakal membawa pengunjung merasai keunikan dan keistimewaan flora fauna seolah-olah berada di Mini Amazon.

“Sekarang ini kita berada di fasa untuk menyiapkan jeti-jeti untuk bot dan menyediakan fasiliti untuk keselesaan pengunjung. Dijangka kedua-dua Eco Cruise ini akan siap dan dibuka pada orang ramai pada April atau Jun tahun depan.

“Selain itu, untuk Melaka Sea Cruise pula akan ke Taman Laut Melaka untuk menikmati keindahan terumbu karang, pemandangan matahari terbenam serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam PPSPM 2024 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PPSPM, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Lembaga Pengarah PPSPM, Datuk Wira Zainal Abu serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata PPSPM turut akan menambah beberapa produk pelancongan lain seperti Restoran Terapung Mendam Berahi dan Pakej Kombo menarik untuk orang ramai.

“Kita harapkan tahun 2025 nanti memberi tuah kepada PPSPM yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada produk pelancongan Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post 5 TEMPAT PALING ‘BEST’ DI SUNGAI MELAKA
Next post MASUK PERCUMA, MACAM-MACAM ADA DI FESTIVAL HALAL ANTARABANGSA MELAKA
Ubah saiz-+=