Pelawa Google meriahkan SMIX 2023

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Kerajaan Negeri mempelawa Google Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran ‘Smart Melaka International Conference and Expo’ (SMIX 2023) yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, kehadiran Google secara tidak langsung membuka ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk mempelajari serta meneroka perkhidmatan yang ditawarkan gergasi teknologi dunia itu.

“Lawatan saya baru-baru ini bersama delegasi Kerajaan Negeri ke syarikat Google Malaysia adalah untuk menjemput mereka menyertai ekspo kita Oktober nanti.

“Pada lawatan itu, kita dengar apa fungsi ‘google’, apa perkhidmatan yang mereka tawarkan dan ada juga program-program yang boleh kita cuba bawa balik ke Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, turut mengucapkan terima kasih atas layanan pihak Google Malaysia selain memberi taklimat dan perkongsian idea yang bernas untuk dipraktikkan di Negeri Melaka.

“Saya percaya lawatan ini memberi satu ilmu baharu kepada Kerajaan Negeri, selain mencari peluang yang ada untuk kemajuan di negeri ini,” katanya.

Lawatan turut disertai timbalan beliau, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Adun Duyong.

Terdahulu sebelum ini media melaporkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mempelawa syarikat utama dalam industri digital untuk menjadi rakan strategik dan penaja dalam merealisasikan penganjuran SMIX 2023.

Persidangan dan ekspo berkenaan dianjurkan dengan skala lebih besar bagi memperluas inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah Smart Melaka.

Ia selari dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 iaitu pendigitalan dalam ekonomi digital.

Justeru, penganjuran SMIX 2023 diharapkan dapat memberi impak lebih besar kepada pembangunan masyarakat pintar khususnya di Melaka.

Kerajaan Negeri mempelawa 19 rakan strategik terdiri daripada beberapa kementerian, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk turut sama menganjurkan SMIX 2023.

Antaranya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Komunikasi Digital (KKD); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Untuk rekod SMIX 2023 akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh membabitkan lebih 600 peserta dan ahli panel termasuk tiga personaliti berprofil tinggi dalam industri digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1580
Kongsi :
Previous post Delegasi Melaka teroka kaedah pengurusan air Australia – KM
Next post Tingkat daya saing pelajar dalam bidang sains, teknologi 
Ubah saiz-+=