Sorting by

×

Pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA, 21 Dis – Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Dis lepas, ditangguhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memang sudah dimaklumkan kepada timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid) dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Terdahulu Anwar ditanya sama ada pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra dilihat melanggar arahan Kabinet setelah diputuskan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta pada 15 Dis lepas.

Pada 16 Dis lepas, Ahmad Zahid memaklumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Bhd.

Anwar dalam pada itu berkata terdapat kekeliruan mengenai soal lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan.

“Cuma ada kekeliruan, saya tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat politik itu menjadi pengurusan, tetapi (sebaliknya) mesti terikat dengan syarat-syarat, dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan,” katanya.

Anwar berkata mungkin ada beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang akan ditugaskan, tetapi kerajaan menetapkan kaedah tentang tahap keupayaan dan profesionalism serta soal pretasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan dan tatakelola yang ditetapkan.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berkaitan lantikan politik, beliau berkata kerajaan membuat keputusan menghentikan semua lantikan politik bagi memberi ruang untuk menilai prestasi supaya mereka yang dilantik kelak tunduk kepada garis panduan yang ditetapkan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu umpamanya syarikat induk hadapi masalah kewangan tetapi syarikat kecil keuntungan besar dan beri bonus besar, hal-hal ini harus kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1816
Kongsi :
Previous post Projek ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM11.01 bilion berbanding kos asal – PM Anwar
Next post KKD salur bantuan RM1 juta termasuk barang keperluan, makanan kepada mangsa banjir – Fahmi
Ubah saiz-+=