Pelantikan Menteri Besar Perak bukti toleransi parti
AYER KEROH 10 Dis. – Pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang baharu menunjukkan toleransi ketiga-tiga parti iaitu Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu menunjukkan ketiga-tiga Presiden parti telah membuat keputusan terperinci antara satu sama lain.
“Ini menunjukkan presiden atau majlis presiden ketiga-tiga parti membuat satu keputusan terperinci yang dikatakan adanya sifat toleransi dengan yang lain.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah atas tiga Presiden ini kerana dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku di Negeri Perak dalam melantik Menteri Besar yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri, hari ini.
Terdahulu dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan yang berlangsung sebentar tadi mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.
Jelas kenyataan itu, ketiga-tiga parti turut bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dan di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.