Pelantikan jawatankuasa masjid dan surau hak orang Islam – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 7 November – Terdapat kekeliruan dalam memahami kaedah pelaksanaan bagi pelantikan jawatankuasa masjid dan surau di Melaka, kata Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau dalam satu kenyataan berkata urusan Islam termasuk pelantikan jawatankuasa masjid dan surau adalah hak orang Islam dan penganut agama lain tidak dibenarkan untuk campur tangan.

“(Individu) bukan Islam tidak boleh masuk campur urusan Islam, begitu juga kami (orang Islam) tidak ikut campur urusan agama lain.

“Saya tidak akan benarkan sama sekali perkara ini berlaku. Ini jelas,” katanya.

Rahmad menjawab kenyatan dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban yang juga Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang mempersoalkan pembentukan jawatankuasa masjid dan surau.

“Syarat yang ditetapkan untuk pembentukan jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan Adun bukan beragama Islam mencadangkan senarai jawatankuasa.

“Bukan sahaja (ia) merupakan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau, tetapi paling mendukacitakan ia cubaan membenarkan orang bukan Islam campur tangan dalam urusan agama Islam,” tulisnya dalam Facebook peribadinya.

Dalam laman sosial itu, Dr Mohd Yadzil turut berkongsi satu surat mengandungi logo Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertarikh 25 Oktober menyatakan Adun kawasan bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Ketetapan itu didakwa diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 11 Oktober lalu bagi urusan pelantikan baharu jawatankuasa masjid dan surau sesi 2024 hingga 2026.

Menjawab kenyataan itu, Rahmad berkata beliau akan mengulas kenyataan dikeluarkan ketua pembangkang itu dengan lebih jelas lagi supaya tiada pihak mahupun individu menjadikan isu itu sebagai polemik dan isu politik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8086
Kongsi :
Previous post Banjir: Jumlah mangsa meningkat di Perak dan Selangor
Next post Polis tahan pelajar tingkatan empat dan rakan bersama ganja 10kg
Ubah saiz-+=