Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin perkukuh kerjasama parti dalam kerajaan PN
KUALA LUMPUR 10 Julai (Bernama) – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri akan memperkukuhkan lagi kerjasama parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ia dinyatakan sekumpulan Ketua-ketua Penerangan yang mewakili parti di dalam kerajaan PN menerusi kenyataan bersama hari ini, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap berpengalaman dan berkebolehan kedua-dua pemimpin berkenaan membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam urusan pentadbiran negara.
“Kami mendoakan agar pelantikan ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat yang sedia ada antara parti-parti dalam kerajaan, dalam kerangka kita sebagai sebuah kerajaan yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,”menurut kenyataan itu.
Kumpulan ketua-ketua penerangan itu terdiri daripada Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, Kamaruzaman Mohamad (PAS), Chin Vui Kai (Parti Maju Sabah – SAPP), Jeffrey Kumin (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR), Koo Shiaw Lee (Gerakan), Datuk V. Gunalan (MIC) dan Chan Quin Er (MCA).
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diwakili ketua penerangannya Khairin Bador, Yong Li Na (Parti Demokratik Progresif – PDP), Datuk Julita Majungki (Parti Bersatu Sabah – PBS), Datuk Idris Buang (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu – PBB), Datuk Wilfred Nissom (Parti Rakyat Sarawak) dan Adam Yii (Parti Rakyat Bersatu Sarawak – SUPP).
Pada Rabu, Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan manakala Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.
Pelantikan yang dibuat Muhyiddin itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Selain itu, mereka juga menghargai kesediaan kerajaan PN yang mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan persidangan Parlimen.
“Kami juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan bahawa semua proklamasi darurat dan ordinan serta butiran mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan dibentangkan (pada persidangan Parlimen).
“Kami berharap sidang parlimen khas ini dijadikan medan membincangkan kepentingan rakyat dengan sepenuhnya, dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” kata kenyataan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.