‘Pelantikan ini satu penghormatan’ – Fan Bingbing
BANDA HILIR 16 Jun – Pelantikan sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) adalah satu penghormatan bagi Fan Bingbing.
Selebriti antarabangsa itu berkata, walaupun ia merupakan satu tanggungjawab besar, namun beliau menganggapnya sebagai satu bonus untuk mendekati rakyat Malaysia khususnya di Negeri Melaka.
“Bagi saya ini satu penghormatan, selepas pandemik COVID-19 fikiran saya amat tidak tenang dan saya pun tidak pernah keluar negara untuk melancong.
“Sektor pelancongan selepas pandemik kembali meriah, orang ramai pasti akan memilih tempat yang mereka tidak pernah pergi.
“Menjadi duta ini tanggungjawab berat, tetapi saya rasa bertuah kerana Melaka tempat yang unik, ia berbeza berbanding kebanyakan destinasi pelancongan terkenal lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi temu bual eksklusif bersama media di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Pelakon berasal dari China yang pernah membintangi filem X-Men Days of Future Past itu berkata, Negeri Melaka adalah sebuah destinasi yang cukup istimewa baginya.
Ini kerana, menurutnya, kota bersejarah tersebut mempunyai sejarah hubungan dengan Negara China.
“Saya berharap lebih ramai lagi mengunjungi Melaka kerana banyak tarikan yang boleh diperkenalkan.
“Melaka ada persamaan dengan wilayah Yunnan di China kerana kedua-dua negara ini kaya dengan sejarah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.