Pelantar Stadthuys ‘port’ baharu OOTD
BANDA HILIR 5 Januari – Menjadi mercu tanda utama Melaka, bangunan Stadthuys atau Bangunan Merah menjadi lokasi wajib kepada pengunjung atau pelancong ke negeri ini.
Seakan tidak lengkap percutian ke Negeri Bersejarah ini jika tidak bergambar kenangan berlatar belakangkan bangunan yang dibina sekitar 1641 hingga 1660 itu.
Bagi memastikan mereka yang datang dapat merakam gambar dengan cantik sebagai kenang-kenangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif membina sebuah pelantar untuk bergambar yang dikenali sebagai ‘Pelantar Stadthuys’.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pembinaan pelantar itu mula dibuat pada Disember lalu dan siap sepenuhnya pada Rabu sebelum dibuka kepada orang ramai.
Jelasnya, pembinaan struktur yang mampu menampung kira-kira 20 orang pada satu-satu masa itu merupakan produk baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk meraikan pelancong.
“Kita lihat apabila pengunjung yang datang handak mengambil gambar berlatar belakangkan Bangunan Merah selalunya tidak dapat dan tidak cantik kerana tiada tempat tinggi yang dapat memperlihatkan bangunan itu secara keseluruhan.
“Jadi kita tampil dengan inisiatif bina pelantar di tempat tinggi supaya pengunjung yang datang boleh bergambar berlatar belakangkan Bangunan Merah dengan jelas serta cantik,” katanya.
Menurutnya, pembinaan ‘Pelantar Stadthuys’ itu secara tidak langsung merancakkan lagi usaha mempromosi Melaka khususnya sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Kalau orang datang ke Melaka, boleh dikatakan relevannya Bangunan Merah dan apabila mereka bergambar serta memuat naik gambar ke laman sosial secara tidak langsung dapat mempromosikan Melaka secara percuma,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.