
‘PELANGGAN MASIH RAMAI’ ALASAN PREMIS HIBURAN LANGGAR HAD MASA OPERASI
BANDARAYA MELAKA 21 Mac – Sebanyak 11 premis hiburan di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diperiksa dalam satu operasi bersepadu selepas didapati beroperasi selepas jam 12 tengah malam.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan pemilik premis memberikan alasan bahawa pelanggan masih ramai dan enggan meninggalkan premis walaupun tempoh operasi telah tamat.
“Namun, alasan itu tidak menghalang pihak berkuasa MPHTJ daripada mengambil tindakan tegas. Justeru sebanyak 10 Notis Untuk Tindakan (NUT) telah dikeluarkan terhadap premis yang melanggar syarat lesen perniagaan.
“Kebanyakan premis ini didapati memiliki lesen perniagaan restoran, tetapi sebenarnya menjalankan aktiviti hiburan seperti karaoke, ‘dart’ dan permainan pool tanpa lesen sah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu Sapiah turut menasihatkan pemilik premis supaya segera memohon lesen hiburan sekiranya ingin meneruskan operasi aktiviti seperti karaoke, hiburan pentas atau permainan dalaman.
“Jika gagal berbuat demikian, tindakan lebih tegas seperti kompaun atau sitaan bakal dikenakan. Tindakan ini diambil selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred MPHTJ 2010.
“Ini bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengelakkan sebarang gangguan kepada ketenteraman awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.