Sorting by

×

PELANCONGAN MELAKA JANA PENDAPATAN RM12.68 BILION

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 5 April – Penganjuran Tahun Melawat Melaka tahun lalu menyaksikan sektor pelancongan negeri ini terus meroket apabila mencatat kehadiran lebih 15 juta pelancong.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 74.21 peratus berbanding tahun 2023, sekali gus menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM12.68 bilion.

Beliau berkata, sebagai kesinambungan kepada pencapaian tersebut, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif Tahun Melawat Melaka sehingga tahun 2026, seiring dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia untuk menggamit seramai 35.6 juta pelancong ke Malaysia.

“Atas sebab itu juga, Kerajaan Negeri telah meluncurkan lebih 800 produk pelancongan bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus memastikan Melaka kekal sebagai negeri destinasi utama pilihan pelancong.

“Saya percaya pelbagai usaha dilakukan ini dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat industri pelancongan negeri sekali gus akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat Melaka, ekonomi tempatan dan hasil kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang serta barisan menteri-menteri kabinet.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Menurut Ketua Menteri, bukan sahaja sektor pelancongan, malah sektor pelaburan di Melaka turut meraih pencapaian membanggakan.

Jelas beliau, pada tahun lalu, Melaka berjaya merekodkan kemasukan pelaburan berjumlah RM8.18 bilion, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.2 bilion berbanding tahun 2023.

“Peningkatan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan Melaka, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi tempatan dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan untuk pertumbuhan strategik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS DIBERI KEPERCAYAAN ANJUR PROGRAM BERSKALA BESAR – KM
Next post SEDONDON BERBAJU RAYA KE SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI MELAKA