Sorting by

×

Pelancongan Melaka ‘back to business’

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDA HILIR 6 Mac – Suasana kurang pelancong di beberapa lokasi tumpuan sejak beberapa minggu lalu kini sudah kembali normal malah penuh sesak dengan kenderaan memasuki pusat bandar.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar Pantai Klebang dan pusat bandar bermula lewat petang hingga tengah malam tadi mendapati lokasi tumpuan seperti Pantai Klebang, Istana Kesultanan Melayu Melaka, Menara Taming Sari dan sekitar Melaka River Cruise sarat dipenuhi pelancong.

Kesesakan kenderaan juga berlaku pada lakuan masuk Jalan Tukang berdekatan Masjid Kampung Hulu dimana ia merupakan laluan memasuki Jonker Walk.

Turut mengalami kesesakan bermula jalan Bendahara sehingga Jalan Merdeka biarpun ketika itu waktu menunjukkan hampir pukul 11 malam.

BECA berwarna-warni yang menjadi tarikan di Banda Hilir kembali mendapat sambutan daripada pelancong. FOTO: Norizan Muhid

Selain dipenuhi orang ramai dan kenderaan, deretan beca yang pelbagai bentuk berwarna warni turut menghidupkan suasana kemeriahan Bandar Hilir pada waktu malam.

Ia secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan lebih baik kepada golongan berkenaan termasuk peniaga cenderamata dan makanan di sekitar Bandar Hilir.

Sebilangan peniaga turut mengambil kesempatan melanjutkan operasi perniagaan mereka sehingga lewat malam disebabkan bilangan pelancong yang ramai di kawasan tumpuan.

Turut tidak ketinggalan, R. Muniandi, 35, yang berniaga kedai runcit di Jalan Bendahara di sini, berkata, dia menutup kedainya sekitar pukul 5 petang berikutan keadaan sekelilingnya yang agak lenggang pada hari biasa.

Namun, sejak malam Jumaat lalu, dia terus membuka kedai sehingga lewat malam selepas tidak putus menerima kunjungan orang ramai yang membeli pelbagai barangan runcit dan tambah nilai telefon bimbit yang dijual di kedainya.

“Rasa rugi pula kalau tutup kedai mengikut hari biasa memandangkan sekitar waktu itulah kenderaan mulai banyak memasuki bandar.

“Ada pelancong yang meletakkan kenderaan mereka berhampiran kawasan kedai saya, dan hanya berjalan kaki memasuki Bandar Hilir kerana tidak mahu menempuh kesesakan kenderaan.

“Maka sambil mereka berjalan, mereka singgah membeli makanan di kedai saya, mungkin juga hanya kedai saya sahaja yang buka sehingga lewat malam di Jalan Bendahara ini,” ujarnya.

KEADAAN lalu lintas sekitar Pantai Klebang agak sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang berkunjung ke Uptown Klebang. FOTO: Norizan Muhid

Malah sewaktu meninggalkan Banda Hilir ketika jam menunjukkan angka 11 malam, kelihatan deretan kereta bergerak perlahan memasuki pusat bandar bagi menikmati kemeriahan cuti malam minggu di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2331
Kongsi :
Previous post Lebih sejuta kanak-kanak Malaysia terima vaksin COVID-19
Next post Hampir 40 rumah di Jelebu terjejas banjir kilat
Ubah saiz-+=