Sorting by

×

Pelancongan desa di Tangga Batu diperkasa

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANGGA BATU 9 November – Memperkasa pelancongan di desa berkonsepkan alam semulajadi (ekopelancongan) menjadi antara agenda yang akan diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong di Parlimen Tangga Batu.

Beliau berkata, Tangga Batu merupakan antara kawasan yang unik kerana meskipun sudah melalui pembangunan, namun ia masih dikelilingi pantai, sungai dan kawasan pertanian menghijau yang berpotensi untuk dimajukan.

Menurutnya, menerusi perancangan berkesan, pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu bukan sahaja merupaya menggamit kehadiran pelancong ke Melaka, bahkan pada masa sama, dapat membantu pembangunan ekonomi penduduk setempat.

“Seperti di Ayer Salak, di sini terdapat banyak kebun sayur dan dusun buah-buahan tempatan yang menarik untuk dijadikan lokasi bergambar dan juga untuk pengunjung merasai pengalaman menjadi petani atau pekebun.

“Begitu juga dengan tempat-tempat lain Tangga Batu yang sudah terkenal dengan pantai, sungai, sawah padi, selain turut mempunyai rumah tradisional yang boleh kita rancang untuk dibangunkan di bawah konsep ekonomi setempat.

“Jadi, sekiranya saya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen kawasan ini, saya percaya sinergi yang lebih kuat di peringkat persekutuan dan negeri akan membantu pembangunan kawasan ini yang akhirnya akan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi di Kampung Baru Ayer Salak, di sini, hari ini.

Jelas Ban Hong, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, beliau dan jentera akan terus menggiatkan perjumpaan bersama pengundi dalam usaha menyampaikan maklumat tentang tawaran yang dikemukakan BN, selain mengetahui harapan pengundi kepada kerajaan baharu yang akan mentadbir negara.

Katanya, berdasarkan pertemuannya bersama rakyat berbilang kaum di Tangga Batu, rata-rata mereka mengharapkan kepada pembangunan ekonomi setempat yang boleh menambah pendapatan dan menarik taraf hidup rakyat, terutamanya pada fasa pasca pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2847
Kongsi :
Previous post Kontinjen Melaka johan keseluruhan penulisan kreatif
Next post Permudahkan pinjaman peniaga kecil
Ubah saiz-+=