Pelancongan astronomi Melaka mampu tarik 30,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 2 November – Kompleks Falak Al-Khawarizmi dijangka menerima kehadiran seramai 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Mufti Melaka, Datuk Wira Halim Tawil berkata, bagi mencapai sasaran itu pihaknya akan melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan pelancongan astronomi yang menjadi tarikan pengunjung.

“Di Jabatan Mufti Negeri Melaka kita mempunyai sektor pelancongan Islam yang menawarkan pakej-pakej kursus di kompleks ini termasuk pelancongan astronomi angkasa.

“Kita sentiasa memberi pendedahan pada masyarakat tentang pendidikan dan perkembangan ilmu falak serta astronomi yang berkaitan dengan amal ibadat, arah kiblat, fenomena gerhana, anak bulan, langit, bintang dan cakerawala yang sangat menarik.

“Insya-Allah tahun hadapan kita rangka banyak aktiviti dan kursus mempromosi kompleks ini, kita akan bawa masyarakat bersama untuk selami fenomena-fenomena anak bulan yang ada sekali gus mencapai sasaran seramai 30,000 pengunjung ke sini,” katanya.

Photo 2023 11 02 17 12 44
Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran dan Advokasi Penipuan Pakej Umrah Negeri Melaka 2023 di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Seminar Kesedaran & Advokasi Penipuan Pakej Umrah Negeri Melaka Tahun 2023 yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman di Kompleks Falak Al- Khawarizmi di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Md Ramzi Ishak.

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka itu mendapat kerjasama JAWHAR, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM.

Katanya, kompleks berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti bilik planetarium, bilik tayangan, pameran galeri interaktif dan pusat penginapan serta latihan.

“Kita turut mempelawa syarikat-syarikat ejen pelancongan datang ke sini, jika ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada luar dan dalam negara yang berminat mereka juga boleh datang sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2052
Kongsi :
Previous post 19 pangkalan nelayan terjejas projek pembangunan KLIP
Next post JKM sita taska babit bayi lelaki tidak sedarkan diri
Ubah saiz-+=