Pelancong maya ke Melaka
AYER KEROH 18 Nov. – Penggiat industri pelancongan digalakkan mengguna konsep melancong secara maya untuk mempromosikan produk dan tempat menarik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Sebagai negeri pelancongan, Melaka secara tidak langsung terpalit dengan penularan wabak itu apabila keadaan hujung minggu yang dulunya sesak dipenuhi pelancong kini ‘sepi’ malah jalan raya sekitar Bandaraya Melaka juga lengang.
Situasi itu bukan hanya memberi impak kepada pemain industri apabila merekodkan pengurangan jumlah kehadiran pelancong malah, secara tidak langsung turut memberi kesan terhadap peniaga dan juga pemandu pelancong.
Bagi pemandu pelancong Shaukani Abbas berkata, dalam menarik semula keinginan pelancong untuk melancong dan memperoleh sumber pendapatan yang terjejas susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sesuatu perlu dilakukan penggiat industri pelancongan seperti mengguna teknologi yang ada.
“Bagi saya sebagai penggiat industri pelancongan, konsep pelancongan secara maya dilihat mampu menarik semula pelancong untuk kembali melancong.
“Konsep melancong secara maya ini ia seperti ‘pembuka selera’ yang mana pelancong datang dulu melancong secara maya daripada situ kita dapat menarik perhatian sebelum membawa mereka secara fizikal datang ke Melaka dan tempat- tempat lain,” katanya.
Menurutnya, dia mula menjalankan konsep melancong secara maya pada Ogos lalu dan mula menunjukkan permintaan daripada pelancong termasuk daripada luar negara antaranya Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Saya fikir sesuatu perlu dilakukan walaupun kerajaan ada memberi bantuan tetapi sampai bila nak mengharapkan jadi dengan menggunakan platform ini ia dapat menghasilkan sesuatu.
“Untuk waktu ini sudah dua tiga produk Melaka saya bawakan secara maya. Baru-baru ini sekumpulan pelancong dibawa ke Kampung Morten melancong secara maya, kami berkomunikasi seperti biasa dan bertanyakan soalan, tetapi cuma yang lainya ianya secara maya,” katanya.
Mengulas lanjut, dia yang juga pengasas bersama Explore Malaysia Virtually berkata, syarikat pelancongan khususnya digalakkan untuk mencuba konsep maya ini kerana ia dapat membantu mempromosikan produk mereka.
“Ia praktikal kalau konsep maya ini dipraktik sekarang jangan tunggu apabila industri kembali normal baru ingin lakukan kerana dari sekarang kita sudah boleh mempromosikan aktiviti pelancongan,” katanya.