PELANCONG KE MELAKA NAIK MENDADAK

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 20 September – Jumlah kedatangan pelancong ke Melaka naik mendadak apabila merekodkan 10.16 juta sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, sekali gus meningkat 90.62 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia sekali gus hampir merealisasikan sasaran 15 juta hingga 18.7 juta pelancong sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan mendadak itu disumbangkan hasil pelbagai inisiatif dan program yang dianjurkan Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini, termasuklah menawarkan cabutan bertuah sebuah kereta pada setiap bulan menerusi kempen Bercuti dan Menang.

Selain itu, jelas beliau, inisiatif seperti Melaka Bila Larut Malam yang menawarkan harga istimewa RM10 bagi kemasukan ke beberapa produk pelancongan, selain Zon Bebas Kenderaan yang menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) turut menyumbang kepada kebanjiran pelancong ke negeri ini.

“Pastinya jumlah peningkatan ini seiring dengan dasar yang diputuskan Kerajaan Negeri untuk menyantuni pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka dengan pelbagai tawaran dan tarikan.

“Malah, limpahan daripada kebanjiran pelancong ini turut dirasai peniaga-peniaga dan penggiat pelancongan di seluruh Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan September 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Tambah Ab Rauf, Kerajaan Negeri juga bakal memperkenalkan satu lagi tarikan baharu iaitu Menu RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam bermula Oktober.

Jelasnya, inisiatif itu sekali gus dapat menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan mampu milik di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

87
Kongsi :
Previous post MAIM SASAR KUTIPAN ZAKAT 2024 CECAH RM135 JUTA
Next post HERO SELAMATKAN DUA REMAJA HAMPIR LEMAS
Ubah saiz-+=