Pelancong Indonesia boleh bercuti ke Melaka serendah RM60
PEKANBARU 9 Jun – Melaka melancarkan Kempen Promosi ‘Melaka For ASEAN’ pada Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di Atrium Kampar, SKA Mall, Pekanbaru, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menerusi kempen promosi itu, warga Indonesia khususnya dari Provinsi Riau boleh melancong ke Melaka dengan harga lebih murah dan berbaloi.
Katanya, selain pakej pelancongan kesihatan, terdapat 42 pakej pelancongan keluarga (wisata keluarga) yang boleh didapati serendah 200,000 rupiah atau RM60 sahaja.
“Bukan itu sahaja, tempat-tempat tarikan di Melaka juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di mana para pelancong boleh menerokai Melaka dengan harga yang lebih berpatutan.
“Terdapat juga tawaran pembelian tiket Beli 1 Percuma (Gratis) 1 yang perlu direbut sempena kempen ini yang sah sehingga 31 Disember 2022.
“Justeru itu, saya mohon agar semua penggiat industri pelancongan di Pekanbaru, Dumai mahupun dari Melaka sendiri agar sentiasa bekerjasama dengan lebih erat untuk memeriahkan lagi aktiviti pelancongan di antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di Atrium Kampar, SKA Mall, Pekanbaru, hari ini.
Hadir sama Gubernur Provinsi Riau Dr Syamsuar, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.
Dalam ucapannya, Sulaiman turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Jadi ke-238 Kota Pekanbaru bagi tahun 2022 yang bertemakan “Bangkit Bersinergi”.
“Syabas dan tahniah kepada Yang Terhormat Bapak Gubernur Provinsi Riau dan Bapak Walikota Pekanbaru yang telah berjaya menjadikan Pekanbaru sebagai sebuah kota pelaburan terbaik di Indonesia selama lima tahun berturut-turut dengan nilai pelaburan sebanyak rupiah 4.5 trilion pada tahun 2021.
“Dengan pengiktirafan ini, Pekanbaru akan terus menjadi lebih gemilang sebagai pusat perdagangan, perkhidmatan, industri dan pelancongan di bawah pimpinan Yang Terhormat Bapak Gubernur Riau dan Bapak Walikota Pekanbaru. Insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.