Sorting by

×

PELANCONG CHINA KE MELAKA MENINGKAT TIGA KALI GANDA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April – Melaka mencatatkan peningkatan luar biasa kedatangan pelancong antarabangsa dari China sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan lebih 664,000 pelancong direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 204,000 pelancong dari negara berkenaan pada tahun 2023.

“China kini menjadi penyumbang tertinggi pelancong asing ke Melaka. Lonjakan ini merupakan satu pencapaian strategik hasil usaha promosi pelancongan yang agresif serta pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China Tuan Yang Terutama Lan Tianli, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri akan melanjutkan pelaksanaan TMM sehingga tahun 2026 susulan kejayaan besar tersebut.

“Langkah ini sejajar dengan matlamat nasional untuk menarik seramai 35.6 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

“Melaka akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan yang semakin rancak ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post 5 ANAK MELAKA TERIMA BIASISWA SAMBUNG PENGAJIAN DI CHINA
Next post MELAKA BERHASRAT JADI TAPAK PELANCARAN INISIATIF AI GUANGXI-MALAYSIA