Pelancaran TMM2024 diatur penuh meriah, warna-warni – KM
Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat
SERI NEGERI 30 November – Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dijadualkan di Dataran Pengkalan Rama, pada 31 Disember ini diatur dengan teliti bagi memastikan majlis itu berlangsung dengan penuh warna-warni dan kemeriahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara keunikan dirancang adalah persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza selain pasangan adik-beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain yang juga anak kelahiran Negeri Melaka.
Katanya, persembahan khas kesenian dan kebudayaan dijangka mewarnai lagi pelancaran TMM2024 dan lebih menarik apabila semuanya berlangsung diatas pentas terapung.
“Majlis pelancaran ini saya tidak kata ia hebat, namun saya minta untuk rakyat Melaka melihat sendiri nanti.
“Lebih menarik lagi, majlis pelancaran tersebut akan bersiaran secara langsung dari Wilayah Nanning, Guangxi, China.
“Saya telah dijemput gabenor wilayah tersebut untuk bersama-sama menyaksikan siaran langsung pelancaran TMM2024,” katanya ketika sidang media pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pengisian program atau acara bagi memeriahkan TMM2024 nanti tidak hanya difokuskan kepada bentuk hiburan semata-mata.
Jelas beliau, bermula 25 hingga 30 Disember akan berlangsung Karnival Islamik bertempat di perkarangan Stadium Hang Jebat.
Menurutnya, sepanjang karnival itu nanti pelbagai program berbentuk keagamaan akan dilaksanakan seperti Melaka Berselawat, klinik fardhu ain, kelas mengaji dan pelbagai lagi.
“Sepanjang tempoh penganjuran karnival, alunan bacaan ayat suci al-Quran akan diadakan sepanjang hari tanpa henti.
“Stadium tersebut boleh memuatkan sehingga 60,000 pengunjung, lebih menarik lagi kita akan bawa Kiyai dari Indonesia nanti.
“Jadi orang Melaka khususnya jangan lepaskan peluang memeriahkan karnival sempena TMM2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
1239