Sorting by

×

Pelan tindakan pengurusan, pengendalian vaksin COVID-19 dirangka ATM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin COVID-19 yang bakal diterima, menurut sumber portal Berita Harian sebentar tadi.

Diberi kepercayaan oleh kerajaan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, berkata ia bagi memastikan keseluruhan program imunisasi dirangka kerajaan dapat dilaksanakan secara teratur, mencapai matlamat dan mengurangkan sebarang pembaziran penggunaan vaksin.

“ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

“Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia pada peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV,” katanya.

Jelasnya, ATM memainkan peranan dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran dan penyimpanan, penghantaran serta pengagihan, selain kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga turut merangka pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan diberikan kerajaan untuk warga ATM sebagai penerima vaksin berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak itu.

Katanya, pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan dan kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara, seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’ atau kelompok imuniti.

“Melalui pelan tindakan dan pengurusan, proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.

“Ia membabitkan aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan dan kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan,” katanya.

Affendi berkata, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan serta pemberian vaksin dapat dilaksanakan dengan efisien.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post MASkargo tubuh pasukan khas selaras proses penerimaan vaksin COVID-19
Next post Dua beradik ‘kantoi’ aktif pecah masuk sekolah
Ubah saiz-+=