PELAN SEMPADAN VERSI BAHARU MASJID MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Proses inovasi pelan sempadan kariah baharu membabitkan kesemua 187 buah masjid di negeri ini siap dilaksanakan sepenuhnya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, proses penyediaan sempadan kariah itu dimulakan sejak 2018 lagi.

Katanya, inovasi dilaksanakan itu bertujuan untuk menaiktaraf pelan tradisional sempadan kariah yang telah diwujudkan sekitar tahun 60-an.

“Ketika itu pelan kariah disediakan secara manual menggunakan lakaran tangan sahaja, kini lebih jelas dengan pelan topografi berskala dan pemetaan lebih komprehensif.

“Pelan sempadan kariah masjid versi baharu yang dikemaskini ini akan menjadi rujukan sempadan yang lebih jelas buat pentadbir dan pegawai syarak termasuk masyarakat dalam pengurusan nikah, kahwin, zakat fitrah atau kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka dan Pelancaran Pelan Sempadan Kariah Masjid Seluruh Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Hadir sama pada majlis itu Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Rahmad yang juga, Timbalan Pengerusi MAIM berkata, sempadan kariah baharu itu hasil kolaborasi antara Jabatan Mufti Melaka, Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka (JUPEM), JAIM serta MAIM.

“Malah saya juga ingin mengingatkan bahawa penetapan sempadan kariah masjid ini adalah dalam bidang kuasa MAIM, selaras dengan peruntukan Subseksyen 86(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Pelaksanaan ini tidak ada kaitan dengan perubahan sempadan politik yang akan berlaku dari semasa ke semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post RAIKAN KETIBAAN PENUMPANG SCOOT DAN GENTING DREAMS CRUISE
Next post SEKOLAH DIJADIKAN PPS, TAK GANGGU SESI PEMBELAJARAN
Ubah saiz-+=