Sorting by

×

Pelan 10 tahun bina semula bola sepak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) bakal melancarkan peta hala tuju 10 tahun pembangunan bola sepak Melaka dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat bola sepak dalam negara.

Naib Presiden MUSA Noor Azman Rahman berkata, peta hala tuju tersebut bakal dilancarkan pada Jun depan yang bakal melibatkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ujarnya, selain peta hala tuju 10 tahun itu, badan induk bola sepak negeri itu juga bakal menganjurkan kejohanan bola sepak Melaka Junior League (MJL) membabitkan kategori umur 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun bagi mencungkil bakat muda bola sepak negeri ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

NOOR Azman… peta hala tuju 10 tahun pembangunan bola sepak Melaka bagi mencungkil bakat baru.
(FOTO: MUSA)

“Bagi penganjuran ini kita akan menjalin kerjasama dengan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota yang bakal menjadi sekolah angkat yang mana kita juga akan membawakan jurulatih bertauliah bagi membantu perancangan berkenaan.

“Kita menyasarkan lima tahun untuk melihat hasil dalam program ini. Seperti kita tahu untuk melahirkan bakat muda berkualiti, kita perlukan masa.

“Sebab itulah kita wujudkan pelan hala tuju 10 tahun untuk pembangunan bola sepak bagi memperkasakan semula sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Kejohanan Melaka Futsal League 2021 di Hotel MiTC.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, semua bakat muda yang akan dilahirkan menerusi kejohanan MJL itu akan diberikan perhatian rapi dengan pihak MUSA bercadang untuk mengikat kontrak lebih awal membabitkan pemain yang berpotensi besar.

Katanya, dengan cara itu, pihaknya dapat mengelakkan bakat muda tersebut daripada ‘dicuri’ kelab-kelab lain.

“Yang penting bila kita sudah kenal pasti pemain berpotensi, kita kena ikat kontrak. Bermula daripada 17 tahun sebelum dia keluar, kita kena ikat kontrak sekurang-kurangnya lima tahun.

“Selepas mengikat kontrak, kita boleh terus salurkan pemain-pemain ini kepada Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) iaitu kelab milik kita sendiri. Jadi, kita tak perlu lagi ambil pemain luar sampai perlu bayar sampai RM20,000, RM30,000 sebulan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post Kit pertanian PENJANA jimat perbelanjaan dapur
Next post 8 pasukan berentap dalam Liga Futsal Melaka 2021
Ubah saiz-+=