Pelamin angan musnah dek banjir

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MERLIMAU 20 Nov – Sayu hati bakal pengantin apabila melihat pelamin yang diangankan sekali gus mahu diabadikan dalam potret perkahwinan musnah ditenggelami air di Kampung Kilang Berapi di sini, malam tadi.

Perasaan hiba itu disuarakan Nur Hazila Moen, 27 yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000 apabila pelamin serta kelengkapan acara pernikahan rosak apabila kediaman keluarganya dinaiki air.

Dia yang bakal bernikah hari ini dengan jejaka dari Damansara, Selangor berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata ketika hujan lebat tanpa henti sejak jam 5 petang semalam dan berlanjutan kira-kira empat jam kemudian.

Bakal pengantin, Nur Hazila Moen

“Kira-kira jam 7 petang, air sudah mula bertakung masuk ke dalam dapur, namun tidak sampai setengah jam air sudah mula memenuhi dalam rumah.

“Saya dan ahli keluarga lain sempat selamatkan apa yang penting termasuk barang-barang nikah seperti baju nikah dan beberapa hantaran.

“Pelamin dibina untuk saya dan suami abadikan dalam gambar kahwin pun turut tenggelam dek banjir,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Kilang Berapi di sini, malam tadi.

Nur Hazila berkata meskipun keadaan malang itu menimpa keluarganya, namun acara pernikahan tetap berlangsung di Pejabat Agama Daerah Jasin.

“Perasaan sedih sangat tetapi nak buat macam mana, benda nak jadi, bukan kami minta,” katanya.

Rasinah Md Sawi

Dalam pada itu, Rasinah Md Sawi, 72 turut meluahkan rasa sama apabila kediamannya dinaiki air sehingga paras lutut dan keluarganya tidak sempat menyelamatkan barang elektrik.

Ujarnya, banjir sering berlaku di kawasan kediamannya namun menyifatkan banjir kilat kali ini paling buruk dihadapinya.

“Tak sempat nak naikkan (barang perkakasan rumah), hanya air mata sahaja yang tengok.

“Lima kali (rumah) kena, setiap kali banjir menanggung duka di hati Makcik.

“Dulu banjir, kita pindah juga tetapi kali ini lagi teruk,” katanya sambil mengelap air mata.

Semalam, hujan lebat berterusan di negeri mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Jasin dan Alor Gajah dinaiki air.

Berikutan itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah itu

Views:

2137
Kongsi :
Previous post Tiga PPS dibuka di daerah Jasin dan Alor Gajah
Next post Melaka anjur Kejohanan PUBG Mobile
Ubah saiz-+=