Sorting by

×

PELAKSANAAN KAMPUNG DIGITAL SUDAH DI PERINGKAT AKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 6 Januari – Transformasi kampung tradisional kepada Kampung Digital sudah berada di peringkat akhir apabila sebanyak 657 buah kampung sudah selesai menjalani proses cerapan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penyelarasan kepada Kampung Digital memerlukan beberapa rangka kerja antaranya penentuan lot tanah untuk dimasukkan ke dalam sistem dan diberikan nombor.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, proses mencetak pelekat QR juga kini dalam pelaksanaan sebelum diserah dan ditampal di kediaman.

“Namun begitu jumlah kampung dijangka akan berkurang disebabkan ada permintaan dalam kalangan pengerusi JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) untuk menggabungkan kampung-kampung mereka ini.

“Selain itu, ada juga cadangan untuk menukar nama kampung dan perkara ini masih dalam perbincangan serta tindakan agensi berkaitan iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selain Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pejabat Pos Kuala Sungai Baru bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, hari ini.

Lawatan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri.

Fairul Nizam yang juga Adun Asahan berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan melancarkan Kampung Digital di DUN Kuala Linggi pada minggu hadapan bersempena Program WRUR.

“Pendigitalan kampung bagi DUN Kuala Linggi ini melibatkan 30 kampung keseluruhan dan ia akan dilancarkan oleh Ketua Menteri pada minggu hadapan.

“Pada program itu juga pengerusi JPKK akan diberi taklimat dan penerangan berkaitan penampalan kod QR. Justeru itu saya amat berharap rakyat di DUN Kuala Linggi ini khususnya agar dapat bersama-sama dengan menjayakan inisiatif yang diilhamkan oleh Ketua Menteri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post WANITA MAUT, LAPAN LAGI CEDERA DALAM NAHAS BABITKAN LORI DAN MPV
Next post PEMANDU JKR MAUT DALAM PERJALANAN KE TEMPAT KERJA
Ubah saiz-+=