Pelakon Abu Bakar Omar meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 16 APRIL. – Pelakon veteran Abu Bakar Omar meninggal dunia jam 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Central Alor Setar, Kedah, lapor Utusan Malaysia.

Berita sedih itu turut dimuat naik anak Allahyarham, Mohd Zainuddin di laman Facebooknya dengan memohon orang ramai mendoakan arwah bapanya diampuni segala dosa dan di tempatkan kalangan orang beriman.

Katanya, jenazah bapanya akan diuruskan di No 7 Jalan Bukit Nyamuk Mukim Kurung Hitam Kuala Nerang, Kedah dan solat jenazah dijangka dibuat selepas solat Jumaat.

TANGKAP layar hantaran di Facebook Mohd Zainuddin mengenai berita sedih kematian bapanya hari ini.

“Jenazah akan disolatkan sekali lagi Masjid Al Ghufran dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar Kedah selepas Solat Asar Insya-Allah.

“Mohon doakan Ayahanda kami diampuni segala khilafnya…ditempatkan bersama para Solihin.

“Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap Almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini,” katanya.

Mohd Zainuddin turut meminta mana-mana pihak untuk menghubunginya di talian 016 2210340 jika arwah ada berhutang dengan mereka.

Sepanjang aktif dalam lakonan Abu Bakar Omar cukup dikenali dengan penghayatan watak yang mantap hingga dicalonkan dan meraih pelbagai anugerah antaranya Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Sri Angkasa 1983 menerusi drama “Senja Belum Berakhir”; Anugerah Skrin 1999 dan 2012 sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – “Mata Hati” dan Pelakon Lelaki Terbaik – “Gincu Ayah”.

Antara filem yang mengangkat nama Allahyarham termasuk Tsu Feh Sofiah yang juga filem pertamanya pada 1981 dan Bila Hati Telah Retak pada 1983.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2187
Kongsi :
Previous post Gadis 16 tahun dan kekasih 46 tahun dipercayai tokan dadah diberkas polis
Next post MPHTJ rekod tunggakan cukai taksiran semasa lebih RM6.56 juta
Ubah saiz-+=