Sorting by

×

Pelajar UUM Nur Nabilah selamat tiba di tanah air

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ALOR SETAR, 10 April – Pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) Nur Nabilah Mohd Azahar yang cedera parah akibat kemalangan ketika melakukan latihan menyelam di Dive Division Curacao, Carribean pada Disember lalu selamat tiba di tanah air, Jumaat lepas.

Ketibaan Nur Nabilah disambut Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM serta ibu bapanya Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.

Naib Canselor UUM itu berkata pesawat yang membawa Nur Nabilah, 25, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8 malam.

“Syukur kerana pelajar yang kita kasihi telah kembali ke tanah air dan Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan berharap dia dan keluarganya terus kuat dan tabah.

“Terima kasih kepada pihak UUM, ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mendoakan Nur Nabilah dan tidak lupa ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan semua pihak yang terlibat dalam urusan rawatan pelajar kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama, ibu Nur Nabilah, Nor Manira berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu urusan rawatan anaknya sepanjang berada di luar negara.

“Syukur akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang atas kerjasama semua pihak dan gembira kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, rakan baik pelajar itu, Aiman Qistina Balqis Azman yang sudah mengenali Nur Nabilah lebih tujuh tahun berkata beliau mengambil cuti semata-mata ingin menyambut kepulangan rakannya yang lebih mesra dengan panggilan ‘Bella’ dan mengharapnya segera sembuh.

Media sebelum ini melaporkan Nur Nabilah mengalami kecederaan parah di kaki kiri dan retak lengan kanan serta kaki kanan akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao, Carribean pada 28 Dis lepas.

Insiden itu berlaku ketika Nur Nabilah sedang menjalani latihan industri selama empat bulan di Dive Division Curacao sejak 13 Sept tahun lalu hingga 13 Jan dan akibat nahas berkenaan, kaki kanan pelajar berasal dari Alor Setar itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1774
Kongsi :
Previous post Sidang khas Parlimen mulai esok
Next post 62 penganjur bazar Aidilfitri akan dipanggil semula- EXCO
Ubah saiz-+=