Pelajar UTeM kongsi kepakaran TVET bersama warga Simpang Jeram
MUAR 22 Jun – Seramai 40 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyertai Program Semarak Siswa Madani (UA) UTeM @ Johor di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di sini, hari ini.
Kesemua mereka merupakan sukarelawan dari Kelab TUAH Volunteer Team (TVT) dan Persatuan Mahasiswa/i Johor UTeM (PERSIJ) yang dibantu dengan kepakaran tujuh staf Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UTeM.
Program anjuran HEPA UTeM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu bertujuan memenuhi inisiatif dalam menjayakan program TVET @ Komuniti Madani.
Selain itu, ia juga meningkatkan keterlahiran UTeM sebagai sebuah universiti awam dengan menyalurkan bidang kepakaran dan tujahan kepada masyarakat setempat.
Menerusi program tersebut, peserta terlibat telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk menjalankan empat aktiviti bersama masyarakat.
Empat aktiviti yang dijalankan adalah Servis Motosikal, Servis Pendingin Hawa, Pendawaian Elektrik dan Knowledge Transfer Programme (KTP) – Proses Pembuatan Lilin.
Hasil program itu, sebanyak 100 buah motosikal telah berjaya diservis, selain 20 buah rumah melalui aktiviti pendawaian elektrik dan servis pendingin hawa, serta sebanyak 40 unit lilin berjaya dihasilkan melalui aktiviti KTP.
Timbalan Naib Canselor HEPA UTeM Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, program berkenaan juga merupakan manifestasi usaha dan komitmen KPT dalam memenuhi kehendak serta sejajar dengan keperluan negara.
Selain itu, katanya, ia dapat menzahirkan hasrat hala tuju KPT yang kelima iaitu ‘Memacu Kesejahteraan Komuniti’ dengan membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada inovasi sosial dan memastikan masyarakat di semua peringkat dapat memahami serta menghayati program Semarak Siswa Madani dengan lebih jelas.
“Melalui program ini para pelajar juga dapat meningkatkan hubungan baik dan nilai tambah dalam diri mereka disamping dapat membantu masyarakat yang memerlukan selain dapat memberi manfaat yang baik buat komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Adun Simpang Jeram, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman dalam ucapan berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu pengisian dalam program persatuan mahasiswa angkat bersama Adun-Adun dalam Negeri Johor.
Jelasnya, program tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam Bajet 2024 Negeri Johor di bawah inisiatif Pendidikan orang muda Johor, di mana setiap wakil rakyat diberi tanggungjawab menjadi bapa angkat kepada siswa-siswi anak Negeri Johor di universiti-universiti dalam negara.
“Tahniah dan syabas kepada pihak UTeM kerana berjaya menganjurkan Program Semarak Siswa Madani ini di DUN Simpang Renggam.
“Diharap program-program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa-masa akan datang dan dapat dimasukkan dalam kalendar program siswa-siswi bersama masyarakat bagi membina hubungan di antara pihak universiti, mahasiswa dan masyarakat dalam negara kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.