Sorting by

×

Pelajar USM teruja jumpa Ketua Menteri ‘sempoi’

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Mei – “Saya amat kagum dengan perwatakan beliau yang begitu santai tanpa protokol seperti yang selalu dilihat apabila membabitkan orang kenamaan,” kata Gulam Nor Ahmad Khan Nor Zaman Khan.

Gulam Nor Ahmad Khan, 25, antara peserta Jalinan Kasih Siswa Berjasa – Bakti Siswa 6.0 23/24 yang menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, dia menjangkakan akan adanya majlis rasmi yang mengikut protokol apabila tentatif program ada ditulis kehadiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Namun begitu, majlis berjalan sebaliknya apabila Ab Rauf seorang yang ‘sempoi’ dan amat rapat dengan penduduk setempat.

“Saya terkejut apabila beliau tiba dengan memandu sendiri tanpa ada pengiring yang ramai seperti selalu dilihat malah beliau mesra dengan semua orang.

“Cara beliau itu membuatkan kita rasa dekat dengannya walaupun baru berjumpa selain bertuah rasanya apabila dapat berjumpa dan beliau sudi hadir merasmikan program kami ini,” katanya.

Pemuda berasal dari Sabah itu ditemui pada Program Jalinan Kasih Siswa Berjasa – Bakti Siswa 6.0 23/24 anjuran Perkumpulan Anak-Anak Negeri Melaka (PURNAMA) yang disempurnakan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.

Majlis yang berlangsung di Masjid Tanjung Bidara itu turut dihadiri Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu.

Jelas Ghulam Nor Ahmad Khan, kedatangannya ke Melaka buat kali pertama juga memberi satu pengalaman berharga apabila dapat melihat budaya kehidupan masyarakat setempat yang berbeza dari tempat kelahirannya dan merasai sendiri keenakan asam pedas.

“Keluarga angkat saya peramah orangnya dan menariknya di sini kehidupan masyarakat amat harmoni dan Islamik ia jelas kelihatan apabila waktu petang sebelum Maghrib kedengaran alunan ayat al-Quran.

“Apa yang saya hendak kata asam pedas Melaka amat sedap, semalam tiga kali saya tambah apabila umi hidangkan lauk itu ketika makan malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post Elak memancing, berada di tebing sungai
Next post Melaka sambut baik program mahasiswa bersama komuniti
Ubah saiz-+=