Pelajar universiti penyambung legasi dondang sayang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DUYONG 23 Jun – Seramai 40 pelajar dari lima buah universiti awam di negara ini telah menyertai Program Pemantapan Pantun Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan 2023, baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Kasawari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Majlis Kebudayaan Universiti- Universiti Malaysia (MAKUM) dan Institut Warisan Melaka (INSWA) itu telah diadakan di Balai Adat, Perkampungan Hang Tuah, di sini.

Menurut Pengarah Program, Datin Wira Rosmiza Mohd Saad program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar universiti terhadap warisan seni dondang sayang yang sinonim dengan Negeri Melaka.

Beliau yang juga Pegawai Kebudayaan (Unit Tarian) Bahagian Kebudayaan dan Muzik Hal Ehwal Pelajar dan Alumi (HEPA) UTeM berkata, bengkel itu juga memberi pendedahan dalam mengukuh, memelihara serta meneruskan kesinambungan seni warisan dondang sayang.

“Ini kerana dondang sayang telah menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage).

“Penganjuran bengkel ini berupaya memperjuangkan seni budaya dan warisan Dondang Sayang agar tidak pupus di minda generasi muda dan seterusnya berkembang serta dihormati di seluruh dunia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Acara penutup program tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Duyong) merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

WhatsApp Image 2023-06-22 at 17.39.14 (1)
BENGKEL yang diadakan pada program tersebut.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, HEPA UTeM Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengerusi MAKUM Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengurus Besar INSWA Abdul Malek Bador; sekretariat MAKUM dan pegawai pengiring universiti.

Sementara itu, Dr. Sabri memaklumkan, 40 peserta terlibat dalam program itu merupakan pelajar berbilang kaum dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UTeM selaku tuan rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post Kes penyalahgunaan dadah di Melaka menurun
Next post Suntik motivasi kepada lepasan SPM
Ubah saiz-+=