Pelajar UiTM maut terbabit kemalangan
ALOR GAJAH 23 Januari – Pelajar universiti maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Industri Kelemak, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mangsa Alif Syakirin Mohd Balkhishah, 22, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian lori membawa muatan sarung tangan getah itu dalam perjalanan dari arah Kelemak menghala ke Lendu, manakala mangsa dari arah Lendu ke Kelemak.
“Siasatan awal dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki 42 tahun itu membelok ke kanan untuk keluar simpang.
“Dan mangsa yang datang dari arah kanan dikatakan terjatuh lalu berlanggar dengan lori terbabit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan selain saksi kejadian juga sudah diminta hadir ke balai polis untuk diambil keterangan.
“Penunggang motosikal yang maut kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Ketika kejadian berlaku terdapat saksi kejadian dan individu terbabit bersama pemandu serta kelindan lori sudah diminta hadir ke balai polis untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.