Pelajar tunggu soalan matematik, guru meninggal dunia
LENDU 14 Julai – Guru lelaki sebuah sekolah di Masjid Tanah, ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Lendu Ilmu, di sini, tengah hari tadi.
Difahamkan, guru berusia 57 tahun itu sepatutnya memuat naik soalan matematik bagi peperiksaan penggal untuk 20 pelajar tingkatan lima sekolahnya dijadual pada jam 10 pagi ini.
Sumber berkata, disebabkan tiada soalan dimuat naik, pelajar berkenaan menghubungi guru lain.
Katanya, beberapa guru mencuba menghubungi telefon bimbit guru itu tetapi tidak dijawab, menyebabkan beberapa guru rapat dengannya pergi ke kediamannya di sebuah kampung di Lendu.
Bagaimanapun, isterinya memberitahu, suaminya keluar rumah sejak petang semalam ke rumah kedua mereka di Taman Lendu Ilmu, katanya.
Sumber itu berkata, berikutan itu, kumpulan guru terbabit yang mengesyaki sesuatu, bergegas ke rumah berkenaan pada jam 12.30 tengah hari dan mendapati kereta guru itu berada di garaj dan pintu pagar berkunci.
“Mereka memanjat pagar sebelum memanggil arwah tetapi tiada jawapan dan mereka mendapati pintu gelongsor tidak berkunci dari dalam manakala jeriji pintu berkunci.
“Sebaik sahaja pintu gelongsor dibuka, mereka amat terkejut apabila melihat arwah sedang duduk kaku di atas sofa di ruang tamu
sebelum menghubungi polis dan bomba,” katanya.
Difahamkan, arwah sudah mengajar selama 15 tahun di sekolah berkenaan dan meninggalkan seorang isteri serta sepasang anak
lelaki dan perempuan remaja.
Difahamkan juga, isteri arwah memaklumkan, arwah suaminya sering menyelesaikan kerja berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah taman berkenaan.
“Isteri arwah memaklumkan lazimnya arwah suaminya pulang pada belah malam selepas menyelesaikan kerja tetapi malam tadi arwah
tidak balik dan usaha menghubungi telefon bimbitnya tidak berhasil,” kata sumber itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, anggota polis menunggu Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) memeriksa mayat arwah sebelum membawanya ke hospital berkenaan.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat dan keputusan ujian calitan jenazah berkenaan yang dijangka diperoleh esok,” katanya.
Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi punca
kematian.
BERITA BERKAITAN:Â Mayat lelaki dalam rumah berkunci
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.