Sorting by

×

PELAJAR TINGKATAN LIMA MAUT, DUA LAGI CEDERA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 November – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima maut, selepas terjatuh daripada motosikal ditunggang sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal lain dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Peringgit Jaya, di sini, semalam.

Dalam kemalangan pada jam 5.40 petang itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya seorang wanita berusia 20 tahun cedera.

Sementara itu seorang lagi penunggang motosikal yang juga pelajar Tingkatan Lima SMK Tinggi Melaka juga cedera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati pelajar perempuan berkenaan dan pemboncengnya dalam perjalanan dari arah lampu isyarat sebuah pasar raya menghala ke Balai Panjang.

Katanya, selepas menuruni jejambat di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan melanggar kon penghadang jalan pada sebelah kiri jalan.

“Berikutan itu mangsa dan pemboncengnya jatuh sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal yang ketika itu berada di belakang motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya dan seorang lagi penunggang motosikal cedera di beberapa bahagian badan termasuk muka dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Kedua-dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

“Polis sedang mengesan saksi bebas yang melihat kemalangan itu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post GURU DIKHUATIRI LEMAS: OPERASI SAR BERSAMBUNG
Next post KEBERADAAN PENGUAT KUASA KPDN DIPERTINGKAT
Ubah saiz-+=