Sorting by

×

PELAJAR TINGKATAN 1 MAUT DIREMPUH KERETA KETIKA LINTAS JALAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 3 November – Remaja lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Lendu Dalam, di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, mangsa Radzin Muslim, 13, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Dol Said, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Lendu menghala ke Rembia.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tiba-tiba melintas dari sebelah kanan jalan ke kiri jalan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat memberhentikan kenderaan.

“Akibat pelanggaran itu, remaja terbabit disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya di hantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat,” katanya.

Menurut Ashari, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan terdapat juga rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada Perodua Myvi terbabit.

“Daripada dashcam yang diperoleh daripada kenderaan terbabit ia menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku.

“Selain itu kenderaan terbabit juga kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post MIHF’24: OPTIMUMKAN INDUSTRI HALAL
Next post KURANGKAN KESESAKAN DI PEKAN KUALA
Ubah saiz-+=