Pelajar tahfiz buktikan diri mampu raih 9A SPM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Biarpun tidak pernah memasuki sekolah menengah seperti pelajar lain, namun ia bukan penghalang Muhammad Syahrul Sa’aban, 23, cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Muhammad Syahrul merupakan pelajar tahfiz yang menuntut di Madrasah Tahfiz Al- Quran Rabiatul Adawiyah, Bukit Katil sejak berusia 13 tahun mendapat keputusan 9A bagi kesemua subjek diambilnya dalam peperiksaan berkenaan.

Katanya, tiada rahsia tertentu yang diamalkan untuk meraih keputusan cemerlang itu, melainkan dia lebih banyak berusaha mengulang kaji pelajaran sendiri dengan menonton rancangan pendidikan di televisyen dan saluran ‘Youtube’.

“Saya masuk madrasah ini sejak tingkatan satu, pada usia 18 tahun saya sudah khatam namun tidak dapat menyambung pengajian kerana waktu itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi pada usia 21 tahun saya mula mengulang kaji pelajaran dan fokus untuk mengambil SPM demi membuktikan bahawa pelajar tahfiz juga boleh berjaya sama seperti pelajar lain.

“Setiap hari saya bangun jam 5 pagi untuk solat tahajud, baca al-Quran, solat hajat dan solat taubat, selesai sebelah siang pada jam 8 malam saya mula belajar hingga jam 10 malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu menetapkan azam supaya sentiasa fokus dalam pembelajaran untuk menggapai cita-cita menjadi seorang jurutera.

“Ibu saya, Aini Md Saad, 65, adalah seorang pesara tentera, arwah ayah pula meninggal dunia pada usia saya tiga tahun, jadi hidup saya agak mencabar dan perlu berusaha untuk mencapai impian.

“Memang tidak jangka dapat keputusan semua ‘A’ kerana kertas soalan diberikan agak sukar, namun alhamdulillah saya bersyukur atas rezeki diberikan Allah SWT ini,” katanya yang ingin menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post Zakat Perniagaan Melaka meningkat
Next post 50 usahawan Melaka dipilih jana ekonomi logistik
Ubah saiz-+=