Sorting by

×

Pelajar tahfiz bersyukur terima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LENDU 29 Sept. – Pelajar tahfiz al-Quran bersyukur menerima vaksin sejajar tuntutan agama agar umat manusia berikhtiar mencari penawar penyakit.

Bagi Mohd Danish Mustaqim, 17, suntikan itu bukan setakat usaha mengelak dijangkiti pandemik COVID-19, malah ikhtiar untuk memutuskan rantaian wabak.

“Alhamdulillah, hari ini giliran kami menerima vaksin dan saya bersyukur Allah mengizinkan saya serta 58 lagi rakan mendapat suntikan,” katanya.

Mohd Danish antara 59 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Abqari, Tanjung Bidara yang menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Dia berkata, selepas mendaftar di aplikasi MySejahtera pada 20 September lalu, dia tidak sabar menunggu untuk menghadiri janji temu menerima vaksin.

“Alhamdulillah, hasil bimbingan guru saya berjaya mendaftar dan berdoa agar giliran kami segera tiba dan hari ini (semalam) ia menjadi kenyataan,” katanya yang ditemani ibunya, Norazlina Mustafa ketika ditemui di PPV itu.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu berkata, sebelum ke PPV itu dia asyik memikirkan keadaan selepas divaksin, namun tidak merasakan sebarang perubahan kesihatan.

Norazlina berkata, dia dan suami sudah lengkap dua dos vaksin dan bersyukur anak kelimanya menerima vaksin hari ini selain empat lagi sudah melengkapkannya.

Bagi Hafizi Ahmad, 17, berkata pelbagai cerita negatif mengenai vaksin tidak mempengaruhinya untuk menerima vaksin.

“Pandemik COVID-19 adalah ujian Allah ke atas umat manusia untuk melihat sejauh mana kita meletakkan keyakinan kita kepada Allah sebagai pencipta wabak itu dan penyakit lain,” katanya.

Dia yang ditemani abangnya, Hafiz, 19, berkata amat penting untuk manusia berikhtiar mencari penawar daripada dijangkiti pandemik berbahaya itu.

Sumber Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah berkata, selain 59 pelajar sekolah itu, seramai 202 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang dan 285 pelajar SMK Kem Terendak turut menerima vaksin di PPV berkenaan semalam .

Katanya, seramai 546 pelajar ketiga-tiga sekolah itu menerima vaksin semalam selepas pemberian vaksin untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun dimulakan pada Rabu lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1100
Kongsi :
Previous post Sulaiman terima buku 100 hari Tun Mohd Ali
Next post Remaja oku, kembar teruja terima vaksin
Ubah saiz-+=