Pelajar ‘straight A+’ SPM mahu ikut jejak ibu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BUKIT KATIL 5 Julai – Kerjaya ibu sebagai seorang jurutera kimia di sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas negara menjadi pendorong buat Aiman Arif Rizal Zaidil, 18, untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (MOZAC) itu merupakan antara enam pelajar cemerlang Negeri Melaka yang diraikan selepas memperoleh A+ dalam setiap mata pelajaran pada peperiksaan itu.

Menurut Aiman Arif, ibunya, Farahdila Kadirkhan, 43, sentiasa menjadi suri teladan untuknya mengejar kejayaan dalam hidup sehingga mampu meraih keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran.

“Melihat kerjaya ibu menjadi pendorong saya untuk berjaya suatu hari nanti dan bercita-cita ingin melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di United Kingdom.

“Mungkin suatu hari nanti saya mampu mewarisi apa yang dicapai ibu sendiri dalam mengejar impian ini,” kata anak sulung itu kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan Bijak Sejarah SPM Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023, di Bayou Convention Centre, di sini, semalam.

Sebagai pelajar cemerlang, Aiman Arif menerima penghargaan berupa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000 dan Insentif Bijak Sejarah SPM 2023 bernilai RM200 beserta sijil dan plak yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Program penghargaan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah meraikan seramai 416 pelajar cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 600 pelajar mencapai A+ dalam mata pelajaran Sejarah bagi SPM 2023.

Ketika ditanya rahsia kejayaannya dalam SPM, Aiman Arif berkata, setiap pelajar perlu bijak membahagikan masa dalam pelajaran dan diseimbangkan dengan kokurikulum.

“Sebagai pelajar saya perlu tahu bagaimana untuk membahagikan masa untuk belajar selain memenuhi pencapaian lain seperti bersukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Kita tidak boleh menumpukan kejayaan dalam pelajaran sahaja kerana aspek sukan dan kokurikulum perlu diseimbangkan supaya minda kita kekal aktif untuk mencapai kejayaan.

“Alhamdulillah, apabila diraikan dalam majlis ini kami semua rasa dihargai di atas usaha yang dicapai selama ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberi penghargaan menerusi program seperti ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1189
Kongsi :
Previous post Melaka pergiat program advokasi atasi isu sosial, kekeluargaan
Next post Projek Sunduk Korban, elak pembaziran daging
Ubah saiz-+=