Pelajar SMK Bukit Rambai gegar lapangan golf
Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat
BEMBAN 21 Julai – Atlet golf Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Melaka, Muhammad Adif Haikal Md. Hazan, 15, menepati ramalan apabila dinobat johan Kejohanan Golf Amatur Melaka Ke-53, semalam.
Pada aksi final di Tiara Melaka Golf & Country Club, Muhammad Adif yang juga peserta termuda kejohanan itu berjaya menewaskan rakan senegeri yang juga atlet SUKMA Melaka Wan Hasnul Daniel Wan Omar, 18 dalam aksi sengit yang membawa kepada aksi play-off.
Muhammad Adif bagaimanapun berjaya membuktikan keunggulannya dengan membenam birdie pada lubang ke-18 lapangan Woodland par-4, manakala pesaingnya sekadar mencatat par.
Muhammad Adif Haikal ketika ditemui pemberita mengucapkan rasa syukur di atas kemenangan yang disifatkan cukup bermakna itu.
Ini kerana menurutnya, walaupun beraksi dalam kejohanan amatur, namun, ia disertai ramai pemain hebat daripada pelbagai peringkat usia.
“Ini kemenangan manis buat saya sebab dalam kejohanan terbuka yang melibatkan pelbagai usia ini menjadikan saya juara kali ini.
“Terima kasih kepada Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) yang banyak membantu dan membimbing bakat saya sejak berkecimpung dalam sukan ini ketika berumur 10 tahun,” kata anak jati Cheng yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai itu.
Kejayaan itu melayakkan Muhammad Adif Haikal membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM1,500 manakala Wan Hasnul yang bergelar naib juara menerima RM1,200.
Tempat ketiga pula menjadi milik peserta dari Terengganu Zia Iqmal Abdul Rashid yang membawa pulang hadiah kemenangan RM900.
Acara penutupan kejohanan berkenaan telah disempurnakan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.
Hadir sama Naib Presiden MGA, Datuk Merina Gan dan Setiausaha Agung MGA, Datuk Zulkifli Ismail.
Sementara itu, bagi kategori wanita gelaran juara menjadi milik atlet SUKMA Johor, Pang Hee Jie, 19, sekali gus membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM1,300.
Manakala tempat kedua pula disandang peserta dari China, Yan Yinuo dan tempat ketiga dimenangi peserta dari Sabah, Charlayne Chong yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM700.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
1390